arena

BAM wujud peraturan baharu

Oleh Helmi Talkah

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan mewujudkan satu peraturan baharu bagi membanteras kegiatan mengatur perlawanan dalam kalangan pemain negara yang boleh membawa kepada hukuman digantung seumur hidup jika didapati bersalah. 

Ahli Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin BAM, Jadadish Chandra, berkata pihaknya akan membentangkan cadangan peraturan baharu itu untuk mendapat kelulusan ahli majlis badan induk berkenaan, sekaligus akan diguna pakai di peringkat kebangsaan.

Katanya, peraturan baharu yang akan diperkenalkan itu merangkumi proses undang-undang yang sama di peringkat antarabangsa, termasuk sesi pendengaran kes, pembelaan dan hukuman. 

"Peraturan ini sudah ada di peringkat BWF (Persekutuan Badminton Dunia), jadi kami akan mengemukakan cadangan ini untuk peringkat kebangsaan dan ia akan dinilai oleh Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin.

"Peraturan seperti ini perlu diwujudkan kerana kami tidak mahu apabila kes seperti ini berlaku, tetapi tidak ada peraturan untuk mengatasi masalah itu.

"Hukuman bergantung terhadap betapa serius kes berkenaan dan hukuman maksimum yang bakal dikenakan ialah penggantungan seumur hidup," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Sukan badminton negara dikejutkan dengan dua pemain profesional Malaysia digantung sementara oleh BWF kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Kedua-dua pemain terbabit berdepan dengan enam tuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara tahun 2013 hingga 2016, susulan laporan dibuat seorang pemain bukan dari Malaysia kepada BWF.

BWF melantik tiga ahli panel bebas bagi mengadili kes berkenaan menerusi sesi pendengaran yang berlangsung dua hari di Singapura, Isnin dan Selasa lalu.

Walaupun BWF masih tidak mendedahkan nama kedua-dua pemain yang disyaki itu, namun kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang dapat dilihat sepanjang dua hari sesi pendengaran berlangsung.

Mengulas mengenai insiden beliau dihalang daripada mengikuti hari kedua sesi pendengaran kes di Singapura itu, Jadadish, berkata keputusan berkenaan adalah tidak sah kerana ia melanggar Perlembagaan BWF.

"Kehadiran saya di sana bukan sebagai pemerhati tetapi sebagai wakil BAM, jadi mereka tiada hak untuk menghalang saya daripada memasuki sesi itu kerana ia jelas mengikut Artikel 13.8.2.6 (Perlembagaan BWF).

"Bantahan juga sudah dikemukakan, perkara itu juga sudah berlangsung dan ini juga proses pertama mereka membabitkan kes seperti ini, jadi ia akan menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran pada masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 8:32pm
d