arena

Kuantan FA harap peluang jadi realiti

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI skuad Kuantan FA, Ismail Zakaria tidak rela maruah pasukannya tercalar apabila bertemu AXIS 02 FC pada pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium UiTM, malam esok.

Selain itu, bekas jurulatih skuad Kuala Lumpur itu juga tidak mahu pemainnya 'terlena' lebih awal kepada pasukan liga amatur itu.

Sebaliknya Ismail mahu anak buahnya memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin dalam misi untuk melangkah ke pusingan ketiga saingan piala berkenaan.

"Ini peluang terbaik buat pasukan kami untuk meneruskan langkah ke pusingan seterusnya dan apa yang kami harapkan adalah ia bakal menjadi realiti.

“Kejayaan mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana menundukkan UKM FC pada bulan lalu juga menyuntik semangat tinggi kepada pemain," kata Ismail.

Mengulas lanjut, Ismail yang baharu mengambil alih tugas ketua jurulatih pada Disember tahun lalu bagaimanapun mengingatkan anak buahnya tidak alpa kerana beliau tidak mengetahui kekuatan dan kelemahan sebenar skuad lawan.

"Pasukan yang bakal ditentang itu adalah skuad yang kita tidak tahu langsung kekuatan dan kelemahannya begitu juga dengan corak permainannya.

"Ditambah lawan pasti bermain tanpa sebarang tekanan, kami mengharapkan pemain perlu berwaspada setiap gerakan lawan bagi mengelak maruah tercalar,” kata Ismail yang akan menyenaraikan barisan terkuat termasuk tonggak import Murilo De Almeida, Zarko Korac, Andre Francisco Williams dan Alexandru Tudose.

Selain tonggak import, skuad yang diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula itu turut mempertaruhkan pemain tempatan berpengalaman termasuk bekas penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Helmi Remeli dan Ahmad Zarul Fitri.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 9:51pm
d