arena

Paulus ganti Rosman

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Paulus Firman sebagai jurulatih beregu lelaki yang baru bagi membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit.

Soon Kit kekurangan tenaga jurulatih untuk membantunya selepas Rosman Razak dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih beregu wanita.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata, pelantikan Paulus dibuat memandangkan hanya dia yang mampu memberikan komitmen dalam masa terdekat ini apatah lagi Malaysia kini dalam persiapan menghadapi Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

“Selepas berbincang dengan beberapa calon lain untuk jawatan ini, hanya Paulus yang boleh beri komitmen dan memulakan tugas dalam masa terdekat. Kami tidak boleh menunggu lagi kerana pasukan kita dalam persiapan Piala Thomas.

“Kita perlu jurulatih segera bagi membantu Soon Kit dalam persiapan menguatkan barisan pemain beregu lelaki menghadapi Piala Thomas,” kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Paulus tidak asing buat barisan pemain beregu lelaki negara kerana pernah menggalas tugas sama pada tahun 2013 selama 10 bulan sebelum berhijrah ke Filipina sebagai jurulatih negara berkenaan.

Dalam pada itu, Norza turut mengumumkan Soniia Cheah menggalas tugas sebagai perseorangan wanita pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan menggantikan Goh Jin Wei yang digugurkan.

“Keputusan ini dibuat sepenuhnya ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pemain. Sonia menunjukkan prestasi lebih baik berbanding Jin Wei.

“Soniia menyertai Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Chow Mei Kuan (beregu wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie (beregu campuran),” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 5:24am
d