arena

Roma jejas rentak Napoli

Oleh AFP

DERETAN 10 kemenangan Napoli dalam saingan Serie A akhirnya terhenti apabila tumpas 4-2 di laman sendiri kepada Roma, kekalahan kedua buat pendahulu liga itu musim ini.

Keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan Napoli di puncak liga tetapi jurang dengan Juventus di tangga kedua kini hanya tinggal satu mata selepas pesaingnya itu menewaskan Lazio sebelum itu hasil jaringan Paulo Dybala dalam masa kecederaan.

Juventus juga bermain kurang satu perlawanan berbanding Napoli.

Ketika Lorenzo Insigne meletakkan Napoli di depan pada minit keenam, kelihatan seperti tuan rumah akan meneruskan rutin kemenangan mereka.

Namun pemain Turki Cengiz Under menyamakan kedudukan untuk Roma seminit kemudian. Roma terus mendahului menerusi Edin Dzeko (m-26) yang mencatat sejarah tersendiri dalam kariernya.

Dzeko menambah jaringan pada minit ke-79 dan gol berkenaan meletakkan penyerang Bosnia itu sebagai pemain pertama meledak sekurang-kurangnya 50 dalam tiga liga utama Eropah - Serie A, Bundesliga dan Liga Perdana Inggeris.

Diego Perotti menjadikan kedudukan 4-1 10 minit sebelum tamat permainan dan Dries Mertens merapatkan kedudukan untuk Napoli dalam masa kecederaan.

Tiga mata dikutip Roma membolehkan mereka melonjak ke tangga ketiga liga, 16 mata di belakang pendahulu.

Penyerang Argentina Dybala meraikan kepulangannya selepas sebulan direhatkan dengan meledak gol saat akhir dalam kemenangan 1-0 Juventus ke atas Lazio - persiapan terbaik menjelang pertembungan Liga Juara-Juara di Wembley bertemu Tottenham.

“Saya tidak tahu jika memang saya mahu diturunkan untuk 90 minit, kerana ia adalah permulaan pertama saya dan kami mempunyai perlawanan besar pada Rabu,” kata Dybala.

“Saya rasa bagus dan berjaya mendapatkan gol. Tetapi kami perlu memperbaiki teknik di London dan tampil lebih kuat pada babak pertama.”

Perlawanan menentang Lazio itu turut menyaksikan Juve berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos buat kali ke-18 dalam 20 perlawanan, termasuk 10 daripada 11 perlawanan tahun ini dalam semua pertandingan.

Satu-satunya pasukan yang berjaya membolosi gawang Juventus tahun ini ialah Tottenham.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 10:52am
d