arena

Jackie 'berguru' di Perlis

Oleh Aida Adilah Mat

 

KEKANGAN masa memaksa atlet baling tukul besi negara Jackie Wong berkampung di Perlis sebagai persiapan menghadapi temasya Komanwel di Gold Goast, Australia April ini.

Biarpun hanya latihan di dalam negara, ia dilihat mampu mempertingkatkan prestasi atlet dari Sarawak itu dengan jurulatihnya Gu Yuan yakin pemenang pingat emas Sukan SEA itu mampu memberikan impak di temasya itu nanti.

Malah Jackie turut menaruh kepercayaan bahawa dia mampu untuk mencapai sasaran yang ditetapkan jurulatih biarpun tidak menjalani latihan di luar negara.

Menurut Jackie Perlis menjadi lokasi pilihan latihan kerana dia memerlukan suasana baru untuk meningkatkan momentum balingan dalam usaha memecahkan rekod kebangsaan. 

“Pemilihan Perlis kerana kekangan masa selain itu kami ingin menukar tempat latihan supaya saya akan berada dalam situasi yang lebih segar dan fokus.

“Tawaran dibuat oleh MSN (Majlis Sukan Negeri) Perlis itu disambut baik oleh jurulatih dan saya rasa pendekatan itu lebih sesuai dalam waktu yang singkat ini kerana ia membolehkan saya lebih fokus serta melupakan seketika terhadap pelajaran,” katanya yang kini berada di Perlis.

Jackie berkata dia akan berada di Perlis lebih kurang sebulan sebelum berlepas ke Komanwel dan mensasarkan untuk sekali lagi memadamkan rekod kebangsaan miliknya.

Tahun lalu Jackie menamatkan penantian 16 tahun untuk merangkul emas di Sukan SEA.

Dia bukan saja meraih emas dengan balingan 65.9 meter malah melakar kejayaan berganda apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, 65.34m dan juga rekod temasya milik Caleb Stuart dari Filipina (65.63m), seterusnya membuktikan dia yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun laluan di Komanwel tampak sukar apabila dia perlu melakukan balingan sekitar 70m seandainya mengimpikan sekurang-kurangnya gangsa.

Empat tahun lalu di Glasgow, Scotland acara tukul besi dikuasai atlet Kanada James Steacy dengan jarak balingan 74.16 m diikuti Nicholas Miller dari England (72.99 m) dan gangsa Mark Dry dari Scotland (71.64 m).

 

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 1:19pm
d