arena

'Malaysia mungkin dapat lebih kuota'

Oleh Aida Adilah Mat

 

MASIH ada harapan buat beberapa lagi atlet beraksi di temasya Sukan Komanwel Gold Coast April ini apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan kemungkinan Malaysia akan mendapat sama ada satu atau dua lagi kuota tambahan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo selepas MOM mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sukan Komanwel.

Justeru bukan hanya pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli, malah atlet yang mengemukakan rayuan seperti dari sukan menembak, pingpong dan triathlon turut mempunyai peluang yang sama.

Bagaimanapun keputusan hanya akan dibuat Selasa ini selepas Lembaga Eksekutif MOM bermesyuarat.

“Senarai atlet ke Komanwel akan dimuktamadkan Selasa ini. Saya harap semua atlet bersabar.

“Memang sukar untuk membuat pilihan apabila penganjur mengemukakan kuota atlet, kerana kita juga perlu memberi peluang kepada atlet muda sebagai persediaan masa depan. Bukan hanya Komanwel tapi untuk temasya lain seperti Sukan Asia dan Sukan SEA,” katanya yang ditemui pada acara larian sempena Sukan Asia Indonesia-Palembang yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Acara larian yang dianjurkan untuk memupuk kesedaran dan mewar-warkan kepada orang awam bahawa temasya Sukan Asia akan berlangsung Ogos ini berjaya menarik penyertaan seramai 1600 peserta membabitkan tiga kategori iaitu Lelaki dan Wanita terbuka sejauh 10 kilometer (km) selain Fun Run 5km.

Kategori lelaki terbuka menyaksikan Rohit Rhaarje Singh muncul juara dengan catatan 40 minit 53 saat manakala Nurhidayah Hasanuddin menjuarai kategori wanita 54:06s.

Turut hadir memeriahkan acara berkenaan adalah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Indonesia Hellen Sarita de Lima serta Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan legenda olahraga negara, Tan Sri Dr M Jegathesan.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 1:30pm
d