arena

Kualiti Sabah setanding pasukan Liga Super

Oleh Ryan Stanley

KEKALAHAN tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala FA di Stadium Likas, di sini, semalam, membuktikan Sabah juga mampu bersaing dengan pasukan dari Liga Super. 

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata perlawanan itu juga membuktikan pemainnya memiliki kualiti baik sehingga memaksa JDT bekerja keras sebelum memenangi aksi berkenaan.

"Kalau kita lihat, perlawanan hari ini (malam tadi) menarik, kita bermain dengan satu pasukan kuat, pasukan yang menjuarai Liga Super tahun lalu dan pernah menjulang Piala AFC sebelum ini.

"Tetapi kita buktikan pasukan kita juga mempunyai kualiti yang baik, walaupun kalah, secara keseluruhan saya puas hati dengan semangat pemain yang bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu, mungkin bukan nasib kami," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, semalam.

Jelius berkata, dia bagaimanapun sedikit kecewa dengan beberapa keputusan pengadil sehingga menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.

"Seharusnya kita melihat satu perlawanan yang menarik dengan keseronokan dan seni yang kita mahu.

"Bagaimanapun, ia dipengaruhi dengan satu pihak yang tidak memihak kepada kita dan mungkin juga tidak memihak kepada pasukan lawan... ia menjadi tidak seronok," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, berkata pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung beberapa keputusan yang dilakukan pengadil.

"Banyak keputusan tidak menentu dilakukan pengadil dan ini sebenarnya yang mencetus kemarahan kepada penyokong," katanya.

Dalam pada itu, Juil gembira dengan prestasi serta kesungguhan yang ditunjukkan para pemain Sabah dan beliau menganggap kekalahan malam tadi sebagai kekalahan yang bermaruah.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 4:23pm
d