arena

Azizulhasni tekad emas Sukan Asia

Oleh Azlan Muhammad Zain

TIADA istilah mengalah untuk jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang susulan kegagalannya mempertahankan gelaran keirin dunia di Belanda pada minggu ini.

Malah atlet yang turut dikenali The Pocketrocketman itu, kini memasang azam untuk memastikan pingat kepada Malaysia pada dua temasya penting terutamanya emas di Sukan Asia pada Ogos ini.

“Kita seperti pergerakan roda. Ada masanya berada di atas dan ada masanya berada di bawah. Jadi kita perlu meneruskan kayuhan untuk naik ke atas semula.

“Saya sentiasa positif untuk berusaha lebih keras dengan mengenalpasti masalah, melihat kembali kayuhan dan sebagainya untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Asia.

“Saya mengharapkan sekurang-kurangnya podium di Sukan Komamwel dan emas sama ada dalam acara keirin atau pecut di Sukan Asia,” kata pelumba berusia 30 tahun itu.

Pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018 di Apeldoorn, Azizulhasni terkandas pada saingan repechage acara keirin sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan.

“Ia satu persembahan yang tidak dijangka selepas penanda aras di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC). Saya cuba untuk tidak ‘terganggu’ dengan jangkitan virus, namun sudah pasti persembahan dihasilkan tidak sama dengan aksi di ACC.

“Saya dapat merasakan tahap kelajuan menurun dan semuanya tidak berada pada tahap terbaik kecuali motivasi tinggi untuk terus mencuba,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 6:38pm
d