arena

Rafiq tekad gegar Jerman

Oleh Fabian Peter

PEMAIN boling negara, Rafiq Ismail tidak sabar untuk kembali berada di landasan kemenangan apabila dijadual beraksi pada Cabaran Brunswick Euro di Munich, Jerman, minggu depan.

Rafiq, 21, optimis betapa penampilan yang positif bakal meningkatkan keyakinannya menjelang penyertaan utama tahun ini pada temasya Sukan Asia Indonesia, pada Ogos ini.

Pada dua kejohanan pertama pada Jelajah Boling Eropah (EBT) Januari lalu iaitu Antarabangsa AIK (Stockholm, Sweden) dan Terbuka Brunswick Ballmaster (Helsinki, Finland), Rafiq hampir menamatkan saingan di podium dengan berada di tangga keempat dan kelima.

Dengan Cabaran Euro bakal menjadi kejohanan EBT terakhir buat skuad Malaysia tahun ini, Rafiq tekad menjadikan ia satu realiti.

“Saya benar-benar mahu menjadikan ia kenyataan tahun ini. Tahun lalu, saya tidak beraksi dengan baik di EBT. Malah, saya juga tidak melepasi kelayakan,” kata katanya di sini, semalam.

“Sudah tentu penamat di podium dalam kejohanan terakhir EBT akan menjadi amat bagus buat kami tetapi saya tidak mahu meletak sebarang tekanan kepada diri sendiri. Apa yang utama, cuba dan melangkah secara satu persatu sehingga final.

“Apa yang lebih penting, saya mahu mengekalkan rentak prestasi saya sejak Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) tahun lalu dan berharap dapat melakukan lebih baik pada 2018. Yang utama tahun ini adalah Sukan Asia.”

Kali terakhir Rafiq berada di pentas podium adalah di KL2017, ketika meraih tiga pingat emas dan satu perak.

Terdahulu, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dilaporkan sedang berusaha untuk memastikan pasukan lelaki meraih emas di Sukan Asia.

Dan bagi Rafiq: “Kami akan melakukan yang terbaik untuk pingat emas di Sukan Asia.”

Turut menyertai Rafiq ke Jerman pada 9 Mac ini adalah Ahmad Muaz Fishol, Alex Liew, Timmy Tan, Adrian Ang, Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahmah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah, Natasha Roslan dan juara Terbuka Ballmaster, Sin Li Jane.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 8:51pm
d