arena

Tok Gajah 'terdiam' sebelum rempuh tentera

Oleh Asrol Awang

PAHANG hampir diaibkan oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, di sini, sebentar tadi apabila hanya mampu sekadar mencatat kemenangan 2-1.

Keputusan yang diraih skuad Tok Gajah itu dianggap tidak mengejutkan kerana tuan rumah gagal beraksi pada tahap terbaik terutama tiada serangan berbahaya dilakukan.

Pada perlawanan malam tadi itu, tuan rumah yang mempertaruhkan kesebelasan utama gagal untuk membolosi kubu lawan yang beraksi secara bertahan.

Peluang terbaik Pahang hadir menerusi Forkey Doe apabila mendapat sepakan percuma tetapi bola tendangan penyerang import dari Liberia itu diselamatkan penjaga gol ATM, Safril Hafizzie Safari pada minit ke-21.

Pada minit ke-34, skuad kendalian Dollah Salleh berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Norsahrul Idlan Talaha untuk memastikan Pahang kekal mendahului 1-0 pada aksi separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah berusaha untuk menambah jaringan tetapi dinafikan dengan kekentalan pertahanan lawan.

Sebaliknya, ATM berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd Zaironi Yusof yang bijak menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-66.

Namun, pada minit ke-75, pemain tengah Pahang, Safuwan Baharudin kembali meletakkan skuad itu mendahului 2-1.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 11:48pm
d