arena

Hizaz penyerang berbakat Sabah

Oleh Lokman Sunggim

Kota Kinabalu: Sabah dijangka mempunyai seorang lagi penyerang muda berbakat selepas Rozaimi Abdul Rahman dan pemain yang dimaksudkan semakin menyerlah bersama skuad Piala Presiden musim ini.

Pemain terbabit, Hizaz Lokman, 18, seorang pemain kidal, turut mempunyai ciri-ciri serta skil yang dimiliki Rozaimi.

Dia adalah pemain termuda dalam skuad Piala Presiden Sabah 2018 dan sudah membantu rakan-rakan meraih tiga kemenangan dalam perlawanan Piala Presiden bermula bulan lalu dengan kemenangan ke atas Kedah (2-1), Pahang (2-0) dan mengalahkan MIFA-MISC (2-0).

Musim lalu, Hizaz bermain dalam skuad Piala Belia Sabah dan hasil prestasi yang memberangsangkan, ia menarik perhatian jurulatih skuad Piala Presiden Sabah, Johnny Dominicus untuk menyerapkannya dalam pasukan bawah 21 Sabah musim 2018.

Sebelum ini, penyerang muda berkenaan mewakili pasukan SMK Mutiara Impian, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang dalam Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) B14 dan B17 sebelum mengambil keputusan untuk balik ke Sabah bagi skuad Piala Belia Sabah ketika berusia 16 tahun di bawah kendalian jurulatih Jelius Ating yang kini menjadi ketua jurulatih pasukan utama.

Ketika berusia 11 tahun, Hizaz yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Likas ketika itu mula mewakili pasukan bawah 12 tahun Sabah ke kejohanan B12 kebangsaan pada 2011 dan 2012.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 7:41am
d