arena

'Tangguh' hukuman potong mata

Oleh Rizar Mohd Noor

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) tetap mengenakan hukuman pemotongan mata ke atas 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaimanapun menjelaskan badan pengelola Liga M itu menangguhkan hukuman terbabit sehingga tempoh pendaftaran pemain baharu musim depan iaitu pada penghujung tahun ini.

Malah, Tunku Ismail menjelaskan pasukan berkenaan turut diberi tempoh 14 hari bermula hari ini untuk mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman itu. 

“Kita tidak terus memotong mata, sebaliknya ia masih kekal dan sebab itu kita namakan penangguhan hukuman pemotongan mata (suspended point).

“Kita beri ruang untuk 10 pasukan terbabit memperbetulkan apa yang patut  diperbetulkan. Namun jika tiada perubahan bermakna mata akan dipotong,” kata Tunku Ismail pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FMLLP di sini, hari ini.

Berdasarkan penjelasan FMLLP, pasukan berkenaan berada dalam ‘pemerhatian’ sehingga tempoh pendaftaran pemain baharu musim depan dan sekiranya mereka melakukan kesalahan seperti tidak membayar gaji pemain, hukuman pemotongan mata itu secara automatik akan berjalan.

Sekiranya pasukan tidak melakukan kesalahan, mereka akan bebas daripada hukuman berkenaan selepas tarikh pendaftaran pemain baharu musim depan.

Bagi tempoh rayuan 14 hari pula, FMLLP menjelaskan ia sebagai memberi ruang kepada pasukan terbabit untuk merayu dikurangkan hukuman. 

Namun, berapa jumlah mata yang akan dipotong dijangka diketahui esok selepas surat rasmi diberikan kepada pasukan berkenaan.

Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super termasuk Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC serta enam dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC tidak melengkapkan pendaftaran atau menghantar dokumen pendaftaran melepasi tarikh akhir pada 3 Februari.

Dalam pada itu, Tunku Ismail mengesahkan nama pasukan `feeder' yang diguna pakai membabitkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Terengganu FC (TFC) dengan Terengganu FC II (TFC II) ditukar kepada pasukan simpanan (reserve team).

"Buat masa ini hanya dua pasukan sahaja yang mempraktikkan konsep pasukan simpanan iaitu JDT dan Terengganu FC.

"Dalam mesyuarat itu juga dipersetujui berkenaan syarat-syarat berhubung penajaan yang bakal dibawa masuk tidak lama lagi dan ia terarah kepada penambahbaikan semua fasiliti terutama program akar umbi," kata Tunku Ismail.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 9:43pm
d