arena

FMLLP cadang ubah cara lantik pengerusi

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) merancang menggubal perlembagaannya pada kongres tahunan yang akan diadakan 25 Mac ini.

Langkah itu dilihat mampu membangunkan Liga Malaysia (Liga M) ke arah lebih dinamik dan efisien dalam usaha meningkatkan lagi kualitinya apabila presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan lagi dilantik automatik sebagai pengerusi FMLLP.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, usul menggubal perlembagaan itu akan dikemukakan  dalam mesyuarat kongres itu.

Tambahnya, pencalonan jawatan pengerusi FMLLP juga akan dilakukan sekiranya perlembagaan itu diluluskan kesemua 24 pihak berkepentingan (stake holder) yang bernaung di bawah badan itu.

"Apapun, ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh 24 pihak berkepentingan. Ketika ini perlembagaan sedia ada menetapkan pengerusi FMLLP adalah presiden FAM. 

"Untuk kita bergerak lebih profesional, kita mahu 24 pasukan dalam FMLLP boleh mengundi dan memilih pengerusi sendiri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengelola Liga M itu di sini hari ini.

Kevin berkata, sekiranya pemisahan di antara FAM dan FMLLP dilaksanakan sepenuhnya, maka akan ada perubahan yang menyaksikan perjalanan liga akan bergerak secara berdikari.

Tambahnya, ia hasil cetusan Pengerusi FMLLP merangkap Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu melihat segala perancangan yang dilakukan selari dengan apa yang dilaksanakan di liga luar negara.

Beliau berkata, ahli berkepentingan boleh memilih sesiapa sahaja yang lebih layak dan bukan lagi daripada persatuan kebangsaan, malah inisiatif itu juga permulaan dalam melaksanakan agenda pemisahan politik dan bola sepak yang sering dibangkitkan Tunku Ismail.

"Isu ini berlaku dalam persatuan bola sepak setiap negeri di mana sesuatu pemilihan biasanya akan memilih menteri besar terus menjadi presiden persatuan.

"Jadi, Tunku Ismail sudah lama menegaskan beliau mahu pisahkan politik dengan bola sepak dan saya rasa ini satu langkah yang baik menerusi pengundian tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Jelasnya, pemilihan pengerusi akan dipilih daripada suara majoriti dan sekiranya Tunku Ismail dicalonkan lagi, beliau akan memegang jawatan tersebut dengan kapasiti pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim  (JDT) dan bukannya presiden FAM," kata Kevin.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 10:05pm
d