arena

'Anda selalu terpilih Rashford'

Oleh Reuters

LONDON: Jose Mourinho enggan melayan sebarang desakan untuk menurunkan Marcus Rashford dalam kesebelasan utama Manchester United biarpun Piala Dunia 2018 kian hampir.

Sebaliknya, pengurus skuad The Red Devils itu percaya pengendali England, Gareth Southgate akan membawa penyerang muda itu ke Russia andai masih menaruh kepercayaan kepadanya.

Pemain berusia 20 tahun itu memberi impak segera apabila membuat penampilan untuk United dua tahun lalu, sebelum segera diserap Roy Hodgson ke dalam skuad Euro 2016.

Sejak itu Rashford meraih 15 penampilan dan menjadi watak penting England, namun Southgate dilaporkan bimbang dengan kekurangan aksi bintang United itu.

“Saya tidak akan memberi jaminan kepada sesiapapun,” kata bos United itu menjelang pertemuan dengan Crystal Palace, awal pagi nanti.

“Hanya satu jaminan yang saya boleh berikan kepadanya iaitu dia akan selalu terpilih.

“Setahu saya Marcus tidak pernah gagal terpilih berada dalam pasukan ataupun berada di bangku simpanan.”

Mourinho mendakwa penjaga gol, Sergio Romero sebagai contoh pemain yang jarang beraksi buat kelabnya tetapi sering terpilih untuk mewakili Argentina.

“Jadi ia terpulang kepada Gareth Southgate,” kata Mourinho. “Jika dia percayakan Rashford, dia akan memilihnya. Tidak kira jika dia beraksi untuk United atau tidak.”

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 12:28am
d