arena

Elak positif lagi

Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas berharap Wendy Ng Yan Yee yang terpalit isu doping akan kembali bangkit selepas penggantungannya tamat bulan depan.

Bryan turut berharap penerjun berusia 25 tahun itu juga akan lebih berhati-hati dalam menggunakan sebarang bahan tambahan bagi mengelak positif buat kali kedua.

“Nasib baik Wendy hanya dikenakan penggantungan lapan bulan saja dan sempat beraksi untuk Sukan Asia di Indonesia.

“Saya harap dia dapat bangkit selepas ini serta memenangi lebih banyak pingat. Wendy dan penerjun lain juga perlu lebih berwaspada dengan penggunaan sebarang bahan tambahan,” kata Bryan yang meraih pelbagai warna pingat di peringkat antarabangsa sepanjang kariernya dari 2004 hingga 2012.

Jumaat lalu, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan Wendy hanya digantung lapan bulan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Penggantungan itu berkuat kuasa pada 26 Ogos 2017, iaitu tarikh sampel B diambil dengan hukuman berkenaan bakal berakhir pada 26 April ini.

Wendy gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Pada temasya itu, Wendy berjaya meraih dua pingat emas iaitu dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri.

Wendy disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi, 11 Oktober lalu turut positif.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 7:54am
d