arena

Costa makin serasi di Juve

Oleh AFP

TURIN: Douglas ‘The Flash’ Costa mendapat gelaran itu bukan hanya menerusi gaya potongan rambutnya tetapi juga disebabkan kepantasan serta skil yang dimilikinya hingga membolehkan Juventus memenangi tiga gelaran semusim.

Bekas pemain sayap Bayern Munich berusia 27 tahun itu semakin menyerlah di kelab barunya apatah lagi juara Itali enam kali itu mahu menambah sengat di barisan depan pasukan.

Juventus - masih memiliki satu perlawanan di tangan - hanya satu mata di belakang Napoli untuk perebutan gelaran Serie A, tetapi juga berada di landasan tepat untuk gelaran Piala Itali buat kali keempat berturut-turut dan perlu berterima kasih kepada skil yang dimiliki Costa.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu akan bertandang ke Stadium Wembley untuk menentang Tottenham Hotspur pada aksi Liga Juara-Juara esok dengan keputusan pertama berkesudahan 2-2.

Juventus yang menjulang Piala Eropah pada 1985 dan 1996, tewas di final pertandingan elit Eropah sebanyak dua kali di sepanjang tiga edisi lalu.

Tahun ini, impian mereka masih lagi ada walaupun selepas anak buah Allegri melepaskan kelebihan dua gol hasil jaringan Gonzalo Higuain di Turin, bulan lalu.

Allegri pantas memuji Costa yang sejak kebelakangan ini dilihat berjaya menjana bahagian sayap pasukannya dan menjadi duri dalam daging buat semua lawan.

“Costa memang hebat - kelibatnya sangat menggerunkan,” kata Allegri selepas persembahan pemain Brazil itu membantu melonjakkan semula aksi pasukannya sejak ditewaskan Napoli pada Disember lalu.

Costa sekali lagi menyinar ketika separuh akhir Piala Itali menentang Atalanta bulan lalu hingga membolehkan Juventus menempah tket ke final bertemu AC MIlan.

“Costa sering menyelinap di belakang penyerang tengah dan ia membuatkan permainan menjadi terbuka,” kata Allegri.

Costa dipinjamkan ke Turin dengan pilihan untuk berada di kelab Itali itu secara tetap dari Bayern Munich musim panas lalu dan langkah itu dilihat mencerahkan peluangnya untuk bermain di Piala Dunia. Setakat ini, dia sudah meledak tiga gol selain membantu menghasilkan enam lagi jaringan di sepanjang 31 penampilan bersama Juventus.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 12:25pm
d