arena

Eksperimen Ismail berhasil

Oleh Malik Muhamad

 

EKSPERIMEN yang dilakukan kem Marcerra Kuantan FA ketika melayan skuad AXIS-02 FC dalam saingan Piala FA pusingan kedua Ahad lalu ternyata membuahkan hasil yang membanggakan buat barisan jurulatih pasukan itu.

Malah, lebih menggembirakan ketua jurulatihnya Ismail Zakaria, kemenangan 7-0 menundukkan skuad liga amatur itu membuktikan taji skuadnya kian berbisa terutama menjelang pertemuan dengan pasukan FELDA United Jumaat ini.

“Walaupun pertemuan itu bukan ujian sebenar buat pemain kami yang berjaya meledak jumlah jaringan yang besar, perubahan taktikal yang baharu ketika pertemuan itu ternyata memberi impak yang berkesan buat pasukan.

“Kombinasi pemain yang dilihat kian serasi selepas lima perlawanan termasuk empat dalam saingan Liga Perdana turut memberi keyakinan kepada kami untuk terus menjadi pencabar terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Selain itu, eksperimen yang diterapkan dalam perlawanan itu turut menjadi dan berharap pemain dapat meneruskan momentum kemenangan apabila bertemu skuad FELDA United,” kata Ismail.

Dalam perlawanan itu penyerang import skuad berkenaan, Zarko Korac meledak hatrik, manakala empat jaringan lagi dihasilkan bekas penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat, Muhamad Azmi, Murilo Almeida dan Andre Francisco Williams.

Walaupun bekas Ketua Unit Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu gembira dengan persembahan anak buahnya, Ismail secara peribadinya tetap mahukan persembahan yang lebih daripada itu apabila bertemu skuad The Fighters di Stadium Tun Abdul Razak Jengka nanti.

“Apa yang saya harapkan jentera tengah perlu bijak untuk membaca pergerakan lawan selain mengatur gerakan yang mampu menghasilkan jaringan bagi memastikan impian untuk mencatat kemenangan kedua dalam saingan liga tercapai,” katanya yang belum berpuas hati dengan posisi tengah yang dilihat kurang berfungsi.

 

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 7:16pm
d