arena

Jangka saingan tiga penjuru

Oleh AFP

Barcelona: Juara dunia Formula Satu, Mercedes menjangkakan persaingan tiga penjuru musim ini ketika sesi ujian pramusim bermula semalam dengan Ferrari dan Red Bull masing-masing mempamer peningkatan.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel muncul pelumba terpantas apabila mencatat satu minit 20.396 saat dan melengkapkan 171 pusingan - menyamai hampir 800km dan 2-1/2 lebih daripada jarak perlumbaan di Litar Catalunya.

Pelumba Jerman itu mencatat masa terpantas dengan tayar sederhana sambil pelumba Mercedes, Valtteri Bottas menduduki tangga kedua dengan tayar lembut, ketinggalan 0.200 saat.

Pelumba Belanda berusia 20 tahun, Max Verstappen di tangga ketiga bersama Red Bull dengan catatan 1:20.649 dan melengkapkan 130 pusingan.

“Apa yang kita perhatikan, jika kami berada di depan, perbezaannya amatlah kecil. Kami juga tidak terlalu jauh di belakang,” kata bos pasukan Mercedes, Toto Wolff.

“Apa yang kita dapati jika melihat kepada pasukan Red Bull ialah mereka mempunyai pakej yang mantap,” tambah Wolff ketika pasukannya memburu gelaran kelima berturut-turut bagi kategori pemandu dan pengeluar.

“Saya rasa saingan musim ini akan tertumpu kepada kami bertiga.”

Bottas dan juara dunia empat kali yang juga rakan sepasukannya, Lewis Hamilton berkongsi tugas di sesi ujian dengan pelumba Finland itu melengkapkan 86 pusingan manakala pemandu Britain berkenaan 91 pusingan - menjadikan jumlah keseluruhan 824km.

“Kami tidak terlalu memikirkan soal penalaan enjin kerana kami masih lagi mengumpul data serta maklumat,” kata Hamilton.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, sebaik kami dapat menyesuaikan diri, kami pasti beroleh gambaran sebenar mengenai keupayaan jentera kami.”

Selepas ujian minggu pertama diganggu salji dan hujan, cuaca kering serta cerah membolehkan pelumba menjalankan sesi ujian masing-masing.

“Cuaca agak baik untuk kami menjalani sesi ujian ini,” kata Vettel. “Kami berjaya mengharungi program yang diatur walaupun ada kalanya angin agak kuat.”

Sementara itu, McLaren sekali lagi berdepan kesukaran dengan jentera Renault yang dikendalikan Stoffel Vandoorne mengalami masalah elektrik dan hidraulik.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 10:42am
d