arena

Izad enggan ganggu Malaysia Tigers

Oleh Saiful Affendy Sapran

SEANDAINYA terpilih beraksi di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan, pertahanan skuad hoki negara, Izad Hakimi Jamaluddin menegaskan dia akan menolaknya.

Menurut Izad, keputusan itu dilakukan kerana tidak mahu menanggung risiko lebih besar selepas masih dalam proses pemulihan kecederaan Posterior Cruciate Ligament (PCL) di lutut kanan yang dialami ketika saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari lalu.

“Saya jangkakan proses pemulihan akan memakan masa kira-kira sebulan dua lagi. Sekarang pun saya tak boleh berlari lagi sebab masih ada rasa sakit.

“Untuk Sukan Komanwel mungkin sempat pulih tapi saya bimbang tempat kecederaan itu belum kuat lagi.

“Sebab itu saya tak nak ambil risiko beraksi di Sukan Komanwel kerana bimbang akan berdepan kecederaan berulang yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih semula,” katanya yang terlepas untuk beraksi di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang berlangsung ketika ini di Ipoh, Perak.

Jelas Izad, dia rela melepaskan peluang beraksi di temasya kedua terbesar dunia itu, saingan yang belum pernah disertainya kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan.

“Bagi saya misi di Sukan Asia di Indonesia lebih penting kerana ia menawarkan tiket ke Sukan Olimpik.

“Jadi, biarlah saya ambil masa untuk betul-betul pulih sepenuhnya dan terus melakukan persiapan untuk ke Sukan Asia.”

Sementara itu, kapten skuad negara Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang turut terlepas beraksi di PSAS kerana kecederaan hamstring, juga masih samar dengan peluangnya untuk beraksi di Gold Coast.

“Sekarang ini saya tak dapat beri jawapan yang tepat bila akan dapat pulih sepenuhnya sebab selain hamstring, saya juga berdepan beberapa kecederaan lain,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 5:34pm
d