arena

'Ada suara Tahir letak jawatan'

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

DESAS -desus mengenai peletakan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Tahir Jalaluddin Hussain kini semakin kencang diperkatakan.

Namun, apa yang berlaku sebenarnya dalam FAP masih lagi menjadi tanda tanya kerana sebelum ini, Tahir pernah berjanji untuk memberikan komitmen penuh menaikkan nama dan taraf bola sepak Pulau Pinang ke peringkat lebih tinggi.

Ada yang mengaitkan dengan masalah kewangan, namun kemelut tunggakan gaji pemain sebenarnya tidak lagi menjadi masalah selepas kerajaan negeri bersetuju membantu menyelesaikan masalah gaji pemain, minggu lalu.

Dan setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat, namun difahamkan surat peletakan jawatan itu telah dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng petang semalam, untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, berita mengenai peletakan jawatan Tahir turut dimuat naik menerusi laman sosial Penang FA, Biru Putih Kuning Selamanya sejak Isnin lalu dan penyokong setia Harimau Kumbang mula tertanya-tanya apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Punca sebenar peletakan jawatan juga tidak diketahui kerana pihak FAP ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen sehingga pengesahan rasmi dibuat dalam tempoh terdekat.

Sebagai rekod, Tahir dilantik menjadi Presiden FAP ketika Mesyuarat Agung Tahunan FAP di Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama pada 16 Januari lalu.

Anak kelahiran Jalan Perak, Pulau Pinang itu sebelum ini pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2013.

Beliau juga adalah Naib Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 7:12pm
d