arena

Arif rayu BAM

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN beregu lelaki profesional negara, Arif Latif merayu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya memberi kelonggaran kepada pasangannya, Azriyn Ayup untuk mengambil bahagian dalam kejohanan bertaraf Tahap Empat ke atas.

Sebelum ini, BAM hanya membenarkan pemain badan induk itu saja beraksi di kejohanan bertaraf Tahap Empat ke atas, namun memberi pengecualian kepada Chong Wei Feng, Liew Daren, Arif, Tan Boon Heong, Lim Khim Wah, K. Yogendran, Sannatasah Saniru dan juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli.

Bagaimanapun, Arif meminta jasa baik BAM agar rakan segandinganya itu (Azriyn) juga akan diberikan pengecualian selepas ini, kerana mereka bakal memeterai perjanjian dengan penaja.

Menurutnya, Azriyn akan menghantar surat rayuan kepada BAM minggu ini untuk memohon kelonggaran sama seperti dinikmatinya bagi membolehkan mereka beraksi di kejohanan berstatus lebih tinggi.

“Kita akan minta pelepasan dari BAM dengan meminta agar Azriyn dibenarkan bermain di Tahap Empat ke atas Kami kembali berpasangan semula dengan memulakan aksi sulung di Kejohanan Kebangsaan minggu lalu, dan bakal memulakan aksi di peringkat antarabangsa di Cabaran Antarabangsa Osaka, bulan depan.

“Setakat ini, kami hanya boleh beraksi di kejohanan kecil saja, sedangkan sasaran sehingga hujung tahun ini ialah berada di antara 30 hingga ke-35 dunia. Bagi membolehkan kami naik ke kedudukan berkenaan, kami perlu beraksi di kejohanan lebih besar.

“Jika BAM bersetuju, kami akan membuat pengumuman dalam masa terdekat termasuk daripada segi penajaan. Bagi saya, memang tidak ada masalah cuma sekarang kami merayu agar Azriyn diberi pertimbangan.

“Tambahan pula, kami sudah membuktikan sesuatu minggu lalu apabila muncul naib juara Kejohanan Kebangsaan dan menumpaskan beregu nombor dua negara (Ong Yew Sin-Teo Ee Yi),” kata Arif.

Kali terakhir mereka bergandingan ialah ketika muncul juara Kejohanan Kebangsaan pada 2015, sebelum Arif memilih untuk fokus dalam acara beregu campuran bersama pemain Indonesia, Rusydina Antardayu Riodingin.

“Memang kami lebih serius untuk maju ke depan dan selepas ini pula banyak kejohanan bertaraf Tahap Empat, kejohanan kecil pula berlangsung agak jauh,” katanya.

Sebelum ini, Arif dan Azriyn pernah berada di bawah naungan BAM selaku pemain perseorangan lelaki negara.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 7:21pm
d