arena

Aduan rasuah dapat ganjaran

Oleh Devinder Singh

PEMAIN bola sepak seharusnya ditawarkan ganjaran untuk menggalakkan mereka membuat laporan sekiranya didekati bookie dalam usaha memerangi gejala mengatur perlawanan di negara ini.

Cadangan itu disuarakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sempena kempen ‘Ops Gempur’ yang diwujudkan untuk menggalakkan pihak berkuasa tempatan melaporkan aktiviti rasuah.

Pendekatan itu dilihat paling sesuai dalam usaha membanteras bookie yang cuba mempengaruhi pemain bola sepak, jurulatih dan pegawai pasukan untuk mengatur perlawanan.

Demikian menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, S Karunanithy dalam sesi temubual berhubung gejala rasuah yang menimpa Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), hari ini.

“Pasukan bola sepak seharusnya mempertimbangkan cadangan untuk memberi ganjaran kepada pemain supaya mereka melaporkan sebarang aktiviti bookie,” katanya.

“Bagi kakitangan kerajaan, ada ganjaran diberikan kepada individu mendedahkan maklumat membabitkan aktiviti rasuah. Perkara sama turut patut dipertimbangkan untuk pemain bola sepak bagi menggalakkan mereka menyalurkan maklumat berkenaan,”.

Karunanithy berkata antara punca pemain tidak berani tampil ke depan menyalurkan maklumat adalah kerana takut dicederakan oleh bookie seperti didakwa seorang pemain Kuala Lumpur yang terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan pada 2013.

“Bookie akan menawarkan pelbagai ganjaran menarik tetapi pada akhirnya keputusan sepenuhnya terletak di tangan pemain. Ia terpulang kepada pemain untuk menolaknya,” katanya.

Dua pemain Sarawak ditahan reman untuk siasatan bulan lalu sebelum dibebaskan atas tuduhan mengatur perlawanan bola sepak.

MIFA juga mempunyai dua pemain dikenakan tuduhan atas kesalahan sama.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 9:13pm
d