arena

Christie tekad pertahan rekod tanpa kalah

Oleh Asrol Awang

 

FELDA United FC akan mempertahankan rekod tanpa kalah apabila melayan Marcerra Kuantan FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.  

Pemain tengah kelab itu, Christie Jayaseelan berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengekalkan kedudukan di persada liga.  

Katanya, rekod bersih daripada empat perlawanan memberi inspirasi terbaik kepada The Fighters untuk melebarkan jurang mata dengan lawan.  

"Kami tidak boleh mempersia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri dan tiga mata perlu diraih untuk kekal di persada liga.  

"Namun, kami tidak boleh memandang mudah pertemuan dengan lawan kerana mereka juga mempamerkan perningkatan iaitu hanya tewas sekali," katanya.  

Christie yang sudah menjaringkan dua gol dalam saingan liga bersedia untuk menambah jaringan peribadi sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik The Fighters.  

Katanya, pencapaian terbaik dengan merekodkan 12 mata daripada empat perlawanan diharap memberi lebih motivasi bagi terus mencatat kemenangan.  

"Misi utama adalah beroleh tiga mata tapi pada masa sama kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan bagi mengelak lawan membawa pulang mata.  

"Saya harap rakan sepasukan dapat mengekalkan prestasi cemerlang dalam empat perlawanan lalu iaitu dengan mengutip tiga mata," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 11:06am
d