arena

Kami tak gentar - Firmino

Oleh Reuters

LIVERPOOL yakin mereka boleh menewaskan mana-mana pasukan yang akan diundi bertemu mereka pada suku akhir Liga Juara-Juara termasuk pencabar utama Liga Perdana, kata penyerang Roberto Firmino.

Liverpool seri 0-0 berdepan Porto pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir semalam untuk layak ke suku akhir 5-0 secara agregat, dengan perlawanan kelompok lapan terbaik dijadualkan pada 16 Mac.

Sempadan geografi tidak lagi digunakan untuk undian suku akhir dengan Liverpool dan Manchester City sudah layak. Manchester United dan Chelsea akan melalui perlawanan kedua minggu depan.

“Benar, kami suka undian berdepan kelab England. Kenapa tidak?” kata Firmino kepada media British. 

“Kami sudah menunjukkan sejak beberapa musim lalu kami boleh menewaskan semua kelab England. Kami ada rekod yang baik menentang mereka.

“Kami merasakan kami bermain baik menentang kelab utama England dan menunjukkan kami boleh menewaskan mereka tetapi kami tidak takut kepada sesiapa dalam undian itu.

“Kami tidak bimbang siapa yang akan kami temui, kami tak kisah. Kelab utama Sepanyol? Kami tidak takut. Saya tidak rasa kami takut kepada sesiapa sekarang... Kami rasa kami boleh menewaskan mereka pada hari terbaik kami, dan kami tak kisah siapa mereka.”

Liverpool, yang menang empat daripada lima perlawanan liga, kini berkedudukan keempat liga dan akan berdepan pasukan tangga kedua United pada Sabtu.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 1:37pm
d