arena

Fokus pamer aksi terbaik

Oleh Saiful Affendy

SERAMAI 105 atlet membabitkan 17 jenis sukan di bawah program Kita Juara seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia bulan depan diharap tidak sekadar menjadi pelengkap saja.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail sebaliknya mahu atlet terbabit menunjukkan mereka juga mempunyai keupayaan meraih pencapaian terbaik termasuk menyumbang pingat seiring dengan atlet di bawah Program Podium seliaan Institut Sukan Negara (ISN).

“Mereka ini mungkin tidak diletakkan sebagai sasaran utama untuk meraih pingat emas, perak dan gangsa.

“Tetapi saya berharap mereka dapat memperagakan aksi cemerlang dengan cuba menyumbang pingat untuk negara,” katanya selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merasmikan Karnival Bakat Pelapis Negeri Siri 1/2018 di Kompleks Sukan Paroi, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shapawi, atlet yang terpilih itu adalah mereka yang meraih pencapaian cemerlang seperti memenangi emas di Sukan SEA dan untuk itu sudah pasti prestasi lebih baik diharapkan daripada mereka pada temasya kedua terbesar dunia itu.

“Walaupun bukan di bawah Program Podium yang sasaran utama adalah meraih emas, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk cuba menyumbang pingat.

“Sekiranya mereka mampu meraih emas, ia adalah satu bonus untuk negara,” katanya.

Antara atlet Kita Juara yang bakal beraksi di Gold Coast adalah pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan serta atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong.

Seramai 178 atlet terpilih menggalas cabaran di Gold Coast yang berlangsung dari 4 hingga 15 April ini.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 5:34pm
d