arena

City Boys 'steady'

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH Kuala Lumpur, Fabio Maciel percaya anak buahnya tidak terganggu dengan masalah pengurusan pasukan dan sebaliknya kekal fokus untuk berdepan Kedah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini, Sabtu ini.

Malang menimpa pasukan itu apabila bukan saja kini terperosok di tangga tercorot liga dengan mengumpul tiga mata selepas empat perlawanan, malah berdepan hukuman pemotongan tiga mata gara-gara kelewatan pengurusan melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Selain hukuman pemotongan mata yang ditangguhkan sehingga 31 Disember ini, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) turut didenda sebanyak RM1.5 juta atas kesalahan berkenaan.

Bagaimanapun Maciel enggan masuk campur dengan kontrtoversi itu sebaliknya hanya mahu memastikan barisan skuad City Boys berada di tahap terbaik apabila melayan kunjungan skuad Helang Merah.

“Saya ada bercakap dengan pihak pengurusan. Saya tidak mahu terbabit dengan isu ini. Sebagai jurulatih, saya beritahu kepada pemain supaya fokus kepada tugas masing-masing. Hal itu (denda) kita serahkan kepada pengurusan untuk menyelesaikannya.

“Masih belum berlaku (pemotongan mata) jadi saya tak boleh komen. Cuma sekarang kami hanya perlu fokus dengan tugas kami. Kami perlu fokus untuk mengutip mata dalam saingan Liga Super,” katanya ketika ditemui.

Kuala Lumpur yang baru dinaikkan taraf ke saingan elit tahun ini mempamerkan aksi sukar diduga apabila tewas kepada Selangor, Negeri Sembilan dan PKNP FC namun menang ke atas juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Bila anda menang dengan pasukan seperti JDT, ia membuktikan pasukan anda ada kemampuan untuk berdepan dengan mana-mana pasukan.

“Saingan masih awal, jarak mata tidak jauh. Kalau kami menang dalam dua, tiga perlawanan selepas ini dan pasukan di atas keciciran mata, kami akan berada di kedudukan lebih baik,” kata Maceil, pengendali kelahiran Brazil.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 9:07pm
d