arena

Haikal, Amir wira

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Tiga gol pada babak kedua membolehkan pasukan futsal Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP) mengatasi Persatuan Kebajikan Dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (PERKSPER), 3-1 dalam Kejohanan Sukan Persahabatan 2018 di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Ketinggalan 0-1 pada babak pertama tidak mematahkan semangat pemain skuad bimbingan jurulatih Saharudin Mansor untuk bangkit pada babak kedua menerusi dua gol Mohd Haikal Bustumi dan Wan Amir Asraf Wan Abdul Rani.

“Saya memuji semangat juang yang tinggi dipamerkan barisan pemain PEKSJAP terutama pada babak kedua, kesungguhan mereka memburu gol berhasil walaupun mendapat tentangan sengit daripada lawan. Gandingan pemain muda dan senior ternyata berhasil apabila pengalaman luas diperingkat daerah dan negeri digunakan sepenuhnya untuk melakar kejayaan sulung musim ini,” kata Saharudin

Kejohanan sukan persahabatan kali pertama diadakan antara dua agensi kerajaan itu membabitkan lapan acara menyaksikan tuah rumah PERKSPER muncul juara keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, PERKSPER memenangi acara futsal wanita, bola tampar wanita, dat, congkak, bola jaring dan bolin, sementara pelawat (PEKSJAP) meraih kemenangan dalam acara bola tampar lelaki, futsal lelaki, golf dan karom.

“Saya berharap kejohanan sukan persahabatan antara PERKSPER dan PEKSJAP dapat terus diadakan pada masa akan datang dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan dua agensi itu.

“Beraksi di tempat sendiri menjadi kelebihan kepada PERKSPER untuk muncul juara dan pujian harus diberikan kepada kontinjen PEKSJAP yang memberi tentangan sengit pada semua acara dipertandingkan,” katanya yang beraksi dalam acara golf.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 7:29am
d