arena

Costa ceriakan Atletico

Oleh AFP

DIEGO Costa membantu Atletico Madrid untuk mencerahkan peluang ke suku akhir Liga Europa dengan menjaringkan gol bagi mengatasi Lokomotiv Moscow 3-0 pagi tadi.

Keputusan itu membolehkan Atletico menikmati kelebihan menjelang aksi kedua di Russia, 15 Mac ini.

Saul Niguez menjaringkan gol pembukaan di Wanda Metropolitano sebelum Costa menggandakan kelebihan dan Koke menambah gol ketiga sekali gus mengakibatkan Lokomotiv berdepan tugas berat pada aksi kedua nanti.

Costa sudah meledak enam gol sepanjang 12 penampilan sejak berpindah ke Atletico dari Chelsea, Januari lalu.

Kawalan keselamatan terpaksa ditingkatkan selepas pihak berkuasa bimbang dengan ancaman rusuhan penyokong seperti yang berlaku ketika Athletic Bilbao menentang Spartak Moscow dua minggu lalu.

Hanya kira-kira 500 penyokong Russia berada di Madrid dan pihak berkuasa tidak mengesan apa-apa kekecohan sebelum sepak mula.

Lokomotiv memiliki kelebihan tujuh mata di persada Liga Perdana Russia tetapi kelompok 16 terakhir Liga Europa mungkin menjadi destinasi terakhir kelab berkenaan sejak berjaya layak ke peringkat sama saingan Liga Juara-Juara 2004.

Atletico yang menjadi pilihan ramai pemerhati, membuktikan kemampuan dengan skuad kendalian Diego Simeone itu menyerang sejak wisel permainan dibunyikan.

Sepanjang 90 minit perlawanan, Lokomotiv hanya mampu mencipta satu cubaan yang tepat ke sasaran.

Sebelum permainan, pemain kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit bagi mengingati pertahanan Fiorentina, Davide Astori yang meninggal dunia secara mengejut, Ahad lalu.

Atletico mendominasi permainan tetapi mereka hanya mampu memecahkan kebuntuan menerusi percubaan jarak jauh.

Saul membuat percubaan kaki kiri dari jarak 30 ela di luar kotak penalti yang menuju tepat ke penjuru gawang kelab Russia berkenaan bagi menghasilkan gol pertama pasukannya.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 10:57am
d