arena

Bahana 3 kad kuning TFC hilang Anas

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) turun melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok tanpa kelibat pertahanan kental, Nasrullah Hanif Johan yang digantung selepas menerima tiga kad kuning.

Ketiadaan pertahanan tengah itu yang lebih mesra dipanggil Anas bagaimanapun tidak begitu meresahkan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim yang mempunyai tiga pemain lain untuk memikul tugas di posisi berkenaan.

Selain itu, jurulatih berusia 67 tahun terbabit juga percaya pemain pertahanan import dari Montenegro, Igor Zonjic mampu melaksanakan tugasan dengan cemerlang berdasarkan aksi yang diperagakan dalam perlawanan sebelum ini.

“Khidmat Nasrullah memang diperlukan untuk menguatkan benteng pertahanan bagi menyekat asakan penyerang JDT nanti apatah lagi pemain itu beraksi cemerlang sepanjang lima perlawanan lalu termasuk dalam saingan Piala FA.

“Tapi ketiadaannya tidak menjejaskan persiapan kem pasukan kerana kami sudah memikirkan salah seorang daripada tiga pemain iaitu Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Abdul Latiff Suhaimi dan Radhi Yusof akan mengambil alih tempatnya,” kata Irfan.

Sementara itu, Nasrullah yang digelar 'kereta kebal' pasukan mengakui kempunan kerana tidak dapat membantu TFC dalam perlawanan penting itu.

Katanya, dia berharap rakan sepasukannya mampu beraksi baik dalam misi mengutip tiga mata sekali gus merampas semula kedudukan teratas liga.

“Hajat saya untuk membantu pasukan apatah lagi bakal bertemu skuad terkuat dalam saingan Liga Malaysia. Namun, apakan daya tiga kad kuning ketika bertemu Selangor, Negeri Sembilan dan PKNS FC membuatkan saya terpaksa menjadi penonton.

“Harapan saya pemain yang akan diturunkan jurulatih mampu memperaga aksi terbaik bagi membolehkan rekod tanpa kalah dapat dikekalkan apatah lagi beraksi di laman sendiri,” kata pemain yang berasal dari Negeri Sembilan itu.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 11:53am
d