arena

Yorke yakin United benam The Reds

Oleh Devinder Singh

SAMA ada Jose Mourinho akan bermain dengan strategi ‘memarkir bas’ atau tidak, Manchester United perlu menewaskan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, esok bagi membuka peluang lebih besar untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tiga legenda United –  Dwight Yorke, Dennis Irwin dan David May – yakin skuad Mourinho akan mengunci jentera serangan Liverpool, yang diketuai penjaring terbanyak Mohamed Salah, dan menamatkan rekod seri empat kali berturut-turut dengan skuad kendalian Jurgen Klopp.

Yorke percaya kemenangan United akan membuka peluang lebih besar untuk mereka menamatkan musim ini di tangga kedua, dengan Manchester City hampir pasti merangkul mahkota kejuaraan.

“Ini satu perlawanan yang hebat, kami hanya dua mata di depan Liverpool, jika kami menang, kami akan menjarakkan kedudukan kepada lima mata, dan secara psikologinya memberi tamparan hebat buat mereka,” kata Yorke.

Yorke berkata demikian ketika bersama Irwin dan May dalam sesi bertemu legenda di pejabat Aladdin Group, rakan kongsi global eksklusif pasaran online United, di Kuala Lumpur, hari ini.

“Kesungguhan kami dibuktikan selepas keputusan menentang Chelsea dan Crystal Palace sebelum ini. Pemain tahu apa yang dipertaruhkan, kami pernah berada dalam kedudukan sama sebelum ini.

“Setiap pemain mahu beraksi dalam perlawanan esok, ia satu permainan yang hebat buat kami dan ia peluang untuk menamatkan pertarungan merebut tempat kedua. Kami perlu menang dan saya percaya kami berada pada landasan tepat untuk melakukannya,” tambah Yorke.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 10:36pm
d