arena

Salah waktu masuk United

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho mengakui masih gagal mendapatkan yang terbaik daripada Alexis Sanchez sejak perpindahan Januari lalu kerana bekas penyerang Arsenal itu berpindah ke Manchester United pada waktu yang ‘salah’.

Sanchez dibawa masuk menerusi kontrak secara pertukaran yang dilaporkan menjadikannya pemain dengan gaji termahal di Liga Perdana Inggeris tetapi bintang Chile itu hanya menjaringkan satu gol dalam lapan aksi bersama United, yang dianggap di bawah keupayaan sebenarnya.

Mourinho yang pasukannya bakal berdepan Liverpool di Old Trafford malam ini percaya pemain berusia 29 tahun itu mampu mempamerkan aksi terbaiknya sebelum musim depan.

“Apa yang silap adalah dia hadir pada detik yang teruk pada sesebuah musim, iaitu perpindahan musim sejuk,” kata pengurus United itu.

“Itulah sebabnya saya tidak sukakan perpindahan musim sejuk. Saya fikir ia satu peluang yang tidak mahu kami lepaskan dan terus menyambarnya namun kami tidak begitu percaya pada pasaran musim sejuk.

“Sudah pasti musim depan, kami akan mengetengahkan aksi terbaik daripadanya namum sudah pasti dia kini belajar bagaimana bermain bersama kami dan kami belajar bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripadanya.”

Pemerhati bola sepak membayangkan bahawa dengan memasukkan Sanchez pada pertengahan musim memberi kesan kepada prestasi rakan sepasukan terutamanya pemain tengah Paul Pogba.

Namun di sebalik masalah baru itu, Mourinho tidak melihat Sanchez sebagai kelemahan dalam skuad United.

“Tidak, ia sesuatu yang boleh kami bentuk dan kami akan membentuknya seiring masa dengan pengalaman dan merasai pengalaman itu bersama-sama,” kata pengurus berkenaan.

“Saya tidak fikir ia satu kelemahan, saya menganggapnya satu potensi besar yang perlu digilap.”

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 8:43am
d