arena

'Kalau salah cakap kena gantung pula'

Oleh Zulfaizan Mansor

PEMANGKU jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah enggan mengulas lanjut mengenai mutu pengadilan ketika pasukannya tewas tipis 0-1 kepada PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Yusri dilihat berlari ke arah penjaga garisan pada minit akhir perlawanan selepas Kelantan dianggap patut dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pemain PKNS.

Bagaimanapun, pengadil Khairul Azuan Kidam hanya memberikan sepakan percuma berhampiran garisan kotak penalti dan Yusri menyifatkan mana-mana jurulatih akan melakukan perkara sama ketika pasukannya sangat memerlukan jaringan penyamaan.

“Apabila kita memerlukan gol (penyamaan) minit terakhir, saya rasa semua orang akan bertindak sedemikian. Tapi kita kena akur, kalau salah cakap nanti kena gantung banyak bulan. Lagipun keputusan sudah dibuat,” kata Yusri selepas perlawanan.

“Namun, kita kena akui yang kita masih ketinggalan jauh kepada PKNS.”

Kekalahan itu adalah yang ketiga buat skuad The Red Warriors (TRW) musim ini dan kekal dengan empat mata selepas lima perlawanan.

Selain itu, Yusri tidak menolak kemungkinan terpaksa melakukan rombakan apabila sekali lagi akan berdepan anak buah Datuk K Rajagobal di gelanggang sama bagi aksi pusingan ketiga Piala FA, Sabtu ini.

“Kita banyak bagi ruang kepada pemain PKNS berlegar di bahagian tengah, tapi pada hakikatnya pemain saya sendiri di bahagian serangan cepat hilang bola.

“Bagi perlawanan akan datang berdepan PKNS, saya perlu kenal pasti pemain yang akan diturunkan. Saya perlu melakukan rombakan untuk menyenaraikan pemain terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 7:26pm
d