arena

PDRM kecewa penyudah tumpul

Oleh Asrol Awang

PENYUDAH tumpul antara faktor kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata selepas tewas 1-2 kepada Sarawak, semalam.

Pengendali The Cops, Zulhamizan Zakaria berkata, biarpun menguasai 80 peratus perlawanan, ia tidak memberi makna sekiranya gagal merobek gawang lawan.

“Saya sudah melakukan banyak perubahan dalam membentuk jentera serangan lebih berbisa tetapi ia belum mencapai tahap diinginkan.

“Jentera serangan pasukan masih gagal menajamkan sentuhan mereka hingga memberi kesan terhadap persembahan keseluruhan pasukan.

“Tiada maknanya kami mengusai permainan tetapi lawan yang meraih kemenangan ketika misi utama untuk kembali mencatat kemenangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zulhamizan yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, dua gol diperoleh Sarawak adalah kesilapan mudah dilakukan ketika berusaha mendapatkan jaringan.

Pada perlawanan itu, gol The Cops dijaringkan Argzim Redzovic pada minit ke-36 manakala dua gol Sarawak, masing-masing satu menerusi Abdul Rahim Abdul Razak dan Boboy Gonzales pada minit ke-25 dan 75.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 9:04pm
d