arena

Sanchez tenggelam, Rashford meledak

Oleh AFP

MANCHESTER: Marcus Rashford membuktikan kepada Jose Mourinho mengapa dia berhak mendapat peluang sebagai kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris tahun ini dengan menjaringkan dua gol Manchester United selepas menewaskan Liverpool 2-1 malam tadi.

Jaringan bergandanya dalam tempoh 25 minit pertama bermakna Rashford mengumpul lebih banyak jaringan daripada satu perlawanan berbanding hasil Alexis Sanchez buat United sejak menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah Liga Perdana pada Januari.

Ketibaan pemain Chile itu menjejaskan peluang Rashford biarpun Sanchez sendiri bergelut mencipta impak yang menjadikannya pemain idaman sejak memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak dengan Arsenal.

Sanchez hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan perlawanan ketika bersama United namun tetapi menunjukkan kesungguhan di padang.

Malah jika tidak kerana impak kecederaan yang dialami Paul Pogba yang menurut Mourinho berlaku pada ‘minit terakhir’ latihan kelmarin, Rashford berkemungkinan dipinggirkan sekali lagi.

Sebaliknya Sanchez menggalas tugas di tengah yang sebelum ini dilakukan Pogba untuk memberi ruang di sebelah kiri bagi Rashford memenangi perlawanan itu.

“Dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan besar menentang lawan yang hebat,” kata Mourinho. “Sudah tentu dia begitu penting buat pasukan.”

Jaringan pertamanya langsung tidak menunjukkan pemain itu hilang keyakinan apabila tidak menjaringkan gol sejak awal Disember.

Rashford meluru mendapatkan bola daripada Romelu Lukaku sebelum memperdayakan Trent Alexander-Arnold dan melakukan rembatan melepasi penjaga gol Loris Karius.

Teruja selepas menamatkan kemarau jaringan, Rashford kemudian meledak gol kedua 10 minit kemudian apabila pertahanan Liverpool kembali kucar-kacir selepas Lukaku menewaskan Dejan Lovren.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 11:06am
d