arena

Conte puji aksi mantap Willian

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Chelsea Antonio Conte memuji sumbangan Willian selepas pemain Brazil itu berjaya mengelak kekalahan berturut-turut  kelab itu menjelang aksi menentang Barcelona di Liga Juara-Juara minggu depan.

Sepakan lantun Willian membuka jaringan sewaktu menang 2-1 ke atas Crystal Palace dan teknik sama juga berjaya mencipta jaringan kedua, gol ke gawang sendiri oleh Martin Kelly.

Dia menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan, pencapaian terbaik sepanjang kariernya bersama Chelsea menjelang perlawanan kedua aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Namun Conte juga berpuas hati dengan kesungguhan penyerang itu biarpun ketika tidak memegang bola.

“Anda boleh lihat bila seseorang pemain itu berada pada tahap terbaik, saya yang pertama memilihnya untuk kesebelasan utama,” kata jurulatih kelahiran Itali itu.

“Cara dia bermain menakjubkan tetapi saya mahu tegaskan, bukan saja ketika memegang bola tetapi juga tanpa bola. Dia bekerja keras dan membantu pasukan.

“Saya fikir dia menunjukkan fasa kematangan dalam kariernya. Dalam hati saya berharap dapat melihatnya di peringkat ini dan terus dengan prestasi sedemikian. Adalah penting mempunyai keseimbangan dalam pasukan kerana jika tidak seimbang apa saja boleh berlaku.”

Percubaan Willian turut dihalang oleh James Tomkins dan sepakan percumanya diselamatkan Wayne Hennessey ketika Chelsea mara untuk gol ketiga, sebelum ruang terdedah buat Palace menjaringkan gol saguhati.

 Olivier Giroud hampir saja memastikan hatrik buat pasukan namun terpaksa menunggu lagi untuk gol pertamanya di Liga Perdana Inggeris.

“Kami mencipta banyak peluang dan sedih sekali mereka menjaringkan gol, kami mempunyai tiga minit tetapi kami menjadi gementar,” kata Conte.

 

 

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 1:19pm
d