arena

Garcia rampas gelaran IBF super lightweight

Oleh AFP

Los Angeles: Mikey Garcia menjatuhkan Sergey Lipinets ke kanvas buat kali pertama dalam kariernya semalam, sekali gus merampas gelaran dunia IBF super lightweight milik peninju Russia itu dengan kemenangan sebulat suara 12 pusingan.

Garcia yang tidak pernah kalah, meningkat kepada 38-0 dengan 30 KO, kini menang kejuaraan dunia dalam empat kategori dan kejayaannya di San Antonio, Texas semalam menjadikannya peninju ketiga, di samping peninju Filipina, Manny Pacquaio dan Juan Manuel Marquez untuk memenangi kejuaraan dunia dalam kategori 126, 130, 135 dan 140 pound.

“Ia satu perasaan hebat,” kata Garcia, yang menganggap ia “satu penghormatan besar” menyaksikan namanya di samping Pacquaio dan Marquez.

“Ia bermakna satu lagi babak baru dalam karier saya,” katanya.

Lipinets, 28, menjadi peninju bukan pilihan di Freeman Coliseum sekalipun statusnya sebagai juara dunia. Dia mempertahankan kejuaraan kali pertama selepas menang sebulat suara ke atas peninju Jepun, Akihito Kondo bagi merebut tali pinggang IBF November lalu di New York.

“Dia tampil betul-betul seperti apa yang saya jangkakan, terlalu kuat, berazam, lapar, seorang peninju yang kuat,” kata Garcia. “Kami sedar dia terlalu berazam dan dia berbahaya, saya perlu berhati-hati.” -

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 7:25am
d