arena

Casey tamat kemarau kejuaraan

Oleh AFP

MIAMI: Tiger Woods begitu hampir untuk menjuarai gelaran ke-80 Jelajah PGA Amerika Syarikat menerusi Kejohanan Valspar, namun kejayaan menjadi milik pemain England Paul Casey yang menamatkan kemarau kejuaraan dengan kelebihan satu pukulan.

Woods, juara kejohanan utama 14 kali yang beraksi dalam kejohanan Jelajah keempat sejak pembedahan belakang April lalu, membuktikan dia masih seorang pencabar hebat apabila melakar satu di bawah par 70.

Keputusannya itu membolehkannya berkongsi tangga kedua dengan catatan sembilan di bawah par 275, satu pukulan di belakang Casey yang meraih gelaran Jelajah PGA AS keduanya dengan 65 pukulan dan mengumpul 274 keseluruhan.

“Saya rasa keadaan saya lebih baik berbanding beberapa minggu lalu,” kata Woods.

“Ia semakin baik dan semakin mantap. Hari ini ia tidak sebaik seperti yang diharapkan tetapi saya mempunyai peluang cerah untuk menjuarai kejohanan ini.”

Pembedahan belakang Woods menamatkan percubaan untuk kembali beraksi tahun lalu. Dia masih tercari-cari gelaran pertamanya sejak 2013 tetapi hari ini, persoalan yang timbul bukan mengenai sama ada kemarau itu akan berakhir tetapi bila ia akan berakhir.

Woods menamatkan saingan hari itu di tangga kedua, berkongsi dengan rakan senegara Patrick Reed.

Casey berkata keupayaan menghalang bogey pada peringkat terakhir permainan menjadi kunci kejayaannya.

“Catatan yang baik pada lubang ke-16, 17 dan 18 sesuatu yang menakjubkan. Sudah lama saya tidak melakukannya dan itulah perbezaannya. Itulah yang perlu saya lakukan,” katanya.

“Meraih kejayaan ini, gelaran kedua di jelajah PGA sungguh emosional. Saya sungguh gembira.”

 

 

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 9:10am
d