arena

Griezmann kembali menyengat

MADRID: Antoine Griezmann yang bertindak cemerlang menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi ketika Atletico Madrid menang mudah 3-0 ke atas Celta Vigo dalam aksi La Liga awal pagi tadi, mengukuhkan cengkaman mereka di tangga kedua.

Griezmann membuka tirai jaringan sebaik sebelum rehat di Wanda Metropolitano dengan gol ke-16 musim ini dalam La Liga, yang juga gol ke-11 buatnya dalam sembilan perlawanan terakhir.

Bintang Perancis itu, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona pada musim panas akan datang, kemudian melorongkan bola kepada Vitolo untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Angel Correa, yang tampil sebagai pemain gantian, melengkapkan tiga mata buat pasukan kendalian Diego Simeone.

Ia kemenangan ketujuh dalam lapan aksi La Liga buat Atletico, selepas mereka kecundang 0-1 di Barcelona hujung minggu lalu.

Berikutan itu, juara 2014 itu kekal ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga Barca, namun mereka tujuh mata di depan pasukan tangga ketiga Real Madrid. Celta di tangga kesembilan, dengan berbaki 10 perlawanan.

“Perjalanan masih terlalu jauh. Kami memikirkan satu perlawanan pada satu masa dan kami akan cuba terus sebegitu,” kata Simeone mengenai peluang pasukannya muncul juara.

“Keinginan saya adalah untuk mempunyai peluang ketika berbaki lima perlawanan. Ketika itu baru kami boleh bercakap banyak mengenainya.”

Gol Griezmann awal pagi tadi hadir seminit sebelum rehat apabila dia mengawal bola berdekatan palang gol susulan sepakan sudut dan memperagakan kelincahannya menggelecek untuk memperdayakan pertahanan Celta sebelum merembat ke penjuru gol.

Dia menjadi pengumpan pada minit ke-56 dengan hantaran buat Vitolo, yang mengatasi Ruben Blanco di pintu gol Celta dengan penamat mudah.

Correa tampil menggantikan Vitolo sebelum sejam dan meledak gol empat minit kemudian, menyudahkannya dengan rembatan leret selepas percubaan awalnya dihalang. - AFP

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 9:27am
d