arena

'Terima kasih atas sokongan'

MANCHESTER: Pengurus Manchester City Pep Guardiola (gambar) berterima kasih kepada pemilik kelab dari Abu Dhabi kerana menyokongnya apabila gagal meraih sebarang trofi pada musim pertamanya di kelab itu.

Guardiola yang pasukannya mendahului Liga Perdana Inggeris dengan 13 mata dan menjuarai Piala Liga bulan lalu, dijangka bertemu pengerusi kelab Khaldoon al Mubarak apabila City terbang ke Abu Dhabi untuk sesi latihan selepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Stoke awal pagi esok.

Jurulatih Catalan itu tidak menjangkakan untuk berbincang mengenai kemungkinan kontrak baru pada kunjungan itu dan tidak memberi sebarang bayangan sama ada beliau mahu kekal di kelab itu sebaik kontraknya tamat pada Jun 2019.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, beliau menghargai sokongan yang diberikan kepadanya, pengarah bola sepak Txiki Begiristain dan ketua eksekutif Ferran Soriano.

“Hubungan begitu baik, terutama dengan Khaldoon. Kami sering berhubung menerusi telefon,” kata Guardiola.

“Beliau  mahu tahu apa yang berlaku tetapi sentiasa menerima sebarang keputusan yang dibuat saya, Txiki dan Ferran.

“Hubungan dengan kelab baik kerana mereka mudah menyokong kami apabila kami  meraih kejayaan tetapi perkara sama juga berlaku musim lalu. Ia sungguh bermakna kepada saya.

“Pada detik yang sukar, saya melihat bagaimana reaksi kelab dan sokongan mereka terhadap saya dan apabila saya mahu bercakap mengenai perancangan masa depan, mereka juga ada di sana.

“Tiada keraguan terhadap perkara itu. Kami mempunyai keraguan apabila tidak menang tetapi tidak meragui apa yang perlu dilakukan. Ia sungguh  penting musim lalu. Saya tidak akan melupakannya.”

Guardiola turut memastikan beliau sentiasa memberi sokongan terhadap David Silva yang dibenarkan untuk tidak menyertai beberapa perlawanan sejak tiga bulan lalu bagi membolehkannya bersama anak lelakinya Mateo, yang kini bertarung nyawa di hospital Valencia, Sepanyol selepas lahir pramatang Disember lalu. - AFP

 

 

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 10:22am
d