arena

Cruz terharu sokongan peminat

Oleh Asrol Awang

PENYERANG Pahang, Patrick Cruz terharu dengan sokongan semua pihak termasuk jurulatih, rakan sepasukan dan peminat pada penampilan kedua dalam saingan Liga Malaysia.

Ini kerana pemain kelahiran Brazil itu pernah menyarung jersi T-Team pada 2016 sebelum beralih ke Liga Vietnam mewakili Sai Gon FC musim lalu.

Cruz berkata, kembalinya ke negara ini bersama Tok Gajah diharap dapat membantu skuad itu serta meningkatkan kualiti permainan.

Pada masa sama, tegasnya Pahang adalah sebuah pasukan terbaik dan sudah pasti kepercayaan yang diberi itu akan dipersembahkan dengan sebaik mungkin.

“Saya gembira dapat bersama Pahang kerana skuad ini turut memiliki barisan pemain yang bagus dalam mencapai misi meraih kejayaan musim ini,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Mengulas kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan kelmarin, dia gembira kerana berjaya menjaringkan dua gol sekali gus membantu Pahang meraih tiga mata.

Katanya, kemenangan itu sememangnya dinantikan dalam usaha meletakkan skuad Tok gajah pada kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini.

“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu terutama di bahagian tengah untuk merobek gawang lawan,” katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh menghuni tangga kedua liga dengan mengutip 10 mata, dua mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 12:20pm
d