arena

N'zonzi tekad benam United

Oleh AFP

MADRID: Jika takdir menyebelahi Steven N’Zonzi dia mungkin berdepan Cristiano Ronaldo dan Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu dan bukannya Manchester United awal pagi Rabu.

Bekas pemain tengah Stoke City dan Blackburn Rovers mengakui menyesal tidak menyempurnakan kontrak perpindahan musim panas lalu untuk menyertai Paris Saint-Germain yang kini tewas 2-5 kepada juara bertahan Eropah itu.

Dilahirkan di utara Paris dan juga produk akademi remaja PSG, sudah pasti perpindahan ke Perancis mempunyai tarikan tersendiri terhadap pemain berusia 29 tahun itu.

“Saya orang Paris dan seperti orang Paris lainnya, seronok dapat bermain untuk pasukan kampung halaman,” kata N’Zonzi kepada rancangan televisyen Perancis Canal Football Club.

“Ia pastinya menyeronokkan tetapi ia tidak berlaku.”

Kecenderungan untuk berpindah pasukan bagaikan menjadi tema karier N’Zonzi, apabila pemain tengah itu berdepan dua tawaran pada dua musim berturut-turut di Stoke sebelum akhirnya menyertai Sevilla pada 2015.

“Masa depan saya sebenarnya jauh dari Sevilla tetapi satu perkara yang mengecewakan saya adalah bagaimana ia berakhir,” kata N’Zonzi.

Pada perlawanan pertama aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara di Sanchez Pizjuan dua minggu lalu, keputusan 0-0 memberikan Mourinho sedikit kelebihan.

N’Zonzi mungkin mempunyai peluang terbaik pada perlawanan pertama tetapi tandukan jarak dekatnya berjaya ditampan David de Gea.

Tanpa jaringan di tempat lawan, United pastinya terancam jika Sevilla berjaya mencari jalan membolosi penjaga gol Sepanyol itu.

“Kami mempunyai peluang tetapi gagal menyempurnakannya. Kami sedar De Gea adalah penjaga gol hebat tetapi kami akan terus berjuang pada perlawanan berikutnya dan menang di sana,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 12:25pm
d