arena

Rashford tak bimbang aksi terhad

Oleh Reuters

MANCHESTER: Penyerang Manchester United Marcus Rashford tidak perlukan jaminan lisan daripada pengurusnya mengenai kepentingannya terhadap pasukan dan berkata dia tidak bimbang meskipun masanya di padang dalam aksi Liga Perdana Inggeris terhad.

Rashford menjaringkan kedua-dua gol buat United ketika menewaskan Liverpool 2-1 Sabtu lalu, iaitu penampilan pertamanya di liga berkenaan sebagai kesebelasan utama sejak menentang Burnley Disember lalu.

“Pengurus tidak perlu bercakap dengan saya,” kata pemain berusia 20 tahun di laman web kelab itu.

“Apabila anda lebih muda daripada saya dan belajar mengenai permainan, anda tidak perlukan kata-kata jaminan. Namun daripada pengalaman saya, saya faham ia sebahagian daripada permainan.”

“Dalam bola sepak, ada masa naik dan turun. Perkara terpenting adalah kekal bersama sebagai satu skuad.

“Semua orang datang setiap hari untuk berlatih, kami semua bekerja keras, kami lakukan perkara yang sepatutnya. Kami menghadapinya bersama-sama. Ada kalanya anda berada dalam pasukan, ada kalanya tidak.”

Rashford membuat 27 penampilan di liga musim ini, 13 kali sebagai pemain gantian. Dua gol  ke gawang Juergen Klopp menjadikan jumlah golnya kepada enam.

“Jika anda digugurkan sekali lagi, anda pasti menghadapinya dengan cara lebih baik berbanding kali pertama ia berlaku kepada anda. Ia hanya satu lagi pengalaman buat saya,” kata pemain England itu.

United mengumpul 65 mata dan lima mata mendahului Liverpool di tangga keempat susulan kemenangan itu. Skuad Jose Mourinho ketinggalan 13 mata berbanding pendahulu Manchester City dengan baki lapan perlawanan musim ini.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 1:47pm
d