arena

'Saya kena kerja keras'

Oleh Mohd Khairie Khalid

PENERJUN negara, Leong Mun Yee tidak kecewa meskipun dia dan Nur Dhabitah Sabri gagal memenangi pingat acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita dalam Siri Dunia di Beijing, China Jumaat lalu.

Menurut Mun Yee, dia tidak meletakkan harapan tinggi, apatah lagi, kejohanan itu menjadi penampilan sulungnya bergandingan bersama Nur Dhabitah dalam acara berkenaan.

“Ini kali pertama saya bergandingan bersama Nur Dhabitah selepas sudah lama tidak beraksi dalam acara papan anjal. Agak susah kerana kekuatan saya lebih kepada platform, bukan papan anjal.

“Namun, saya puas hati dan jurulatih juga gembira dengan persembahan kami,” kata Mun Yee yang mengutip 282.84 mata bersama Nur Dhabitah untuk menamatkan saingan di kedudukan kelima pada aksi final di Beijing.

Pingat emas menjadi milik Yiwen Chen-Wang Han dari China dengan kutipan 336.12 mata, Esther Qin-Anabelle Smith dari Australia pula kedua (297.60), sementara gangsa menjadi milik gandingan Kanada Jennifer Abel-Melissa Citrini-Beaulieu (292.74).

Mengulas lanjut, Mun Yee berkata persiapan dia dan Dhabitah juga singkat memandangkan dia kini memikul tanggungjawab menggantikan Wendy Ng Yan Yee yang digantung lapan bulan kerana positif penggunaan sibutramine di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

“Persiapan untuk acara ini agak singkat kerana saya menggantikan Wendy, malah kemampuan saya pun agak terhad. Saya perlu lebih banyak menjalani latihan untuk menjadi lebih bagus dalam acara ini.

“Saya tidak pasti berapa lama akan menggantikan Wendy tetapi untuk empat Siri Dunia (China, Jepun, Kanada dan Russia) serta Sukan Komanwel, saya akan beraksi bersama Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama,” katanya.

Mun Yee berkata, dia juga akan beraksi bersama Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama wanita pada temasya kedua terbesar dunia itu di Gold Coast.

 

 

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 9:13pm
d