arena

'Kurus, muka cengkung bukan sebab tekanan - Hup Wei'

Oleh Aida Adilah Mat

 

ATLET lompat tinggi negara, Lee Hup Wei menafikan dia berada dalam tekanan apabila dilihat semakin kurus dan mukanya cengkung ketika temasya Sukan Komanwel Gold Coast hanya berbaki sebulan.

Tegas atlet berusia 31 tahun itu, keadaan fizikal seperti itulah yang diperlukan dan paling ideal.

“Bukan tekanan. Ini memang bentuk badan ideal dan saya perlu terus kekal begini untuk memastikan prestasi berada di tahap terbaik.

“Semua ini adalah kehendak jurulatih dan saya hanya mengikut saja percaturan beliau,” katanya.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur itu, berkata dia kini boleh menarik nafas lega apabila sudah mengesahkan tempat ke Komanwel Gold Coast bulan depan ketika satu masa dulu ia menjadi persoalan.

Kejayaan merekodkan catatan terbaik peribadi 2.28 meter (m) dilakukannya pada Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia Februari lalu memungkinkan dia menyumbang sesuatu kepada negara di Komanwel nanti.

Dia kini sudah bersedia untuk memberi aksi terbaik akan berlepas ke Australia untuk bersama rakan sepasukan, Nauraj Singh Randhawa dan jurulatih Alex Sterwerd sebagai persediaan menghadapi temasya Komanwel bulan depan.

Katanya, banyak masa yang tinggal buatnya justeru dia mahu segera bersama dengan Sterwerd bagi memastikan prestasinya kekal konsisten.

“Di Gold Coast nanti saya sasarkan untuk sekali lagi melakukan catatan terbaik peribadi.

“Tiada yang mustahil kerana semuanya terpulang pada hari kejohanan itu nanti. Cuaca, persekitaran, masa, suasana semuanya memainkan peranan,” katanya yang berjanji untuk melakukan yang terbaik seterusnya menghadiahkan pingat buat negara.

Berdasarkan prestasi semasa, catatan Hup Wei memungkinkan dia memperoleh pingat.

Empat tahun lalu, emas dimenangi Derek Drouin dari Kanada dengan ketinggian 2.31 meter diikuti atlet Cyprus, Kyriakos Loannou dengan  2.28m dan Michael Mason dari Kanada (2.25m).

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 9:35pm
d