arena

Mourinho bidas kenyataan De Boer

JOSE Mourinho melancarkan serangan terhadap Frank de Boer hari ini selepas bekas pengendali Crystal Palace dari Belanda itu mengkritik United kerana jarang menggunakan Marcus Rashford.

Rashford menjaringkan dua gol pada permulaan pertama Liga Perdana pada 2018 ketika United mengatasi Liverpool 2-1 Sabtu lalu namun Mourinho masih mengeluarkan penyerang berusia 21 tahun England itu, berbaki 20 minit permainan ketika dia tampak mahu menyelamatkan permainan.

“Adalah menyedihkan pengurus itu Mourinho kerana biasanya jika dia adalah pemain England, anda mahu memberikannya masa dan kemudian merasakan dia boleh melakukan kesilapan,” kata De Boer kepada BT Sport.

“Tapi Mourinho tidak seperti itu. Dia mahu mendapatkan keputusan.”

De Boer dipecat Crystal Palace hanya selepas lima perlawanan pada September kerana gagal mendapatkan mata atau menjaringkan gol dalam empat perlawanan liga.

“Saya membaca kenyataan daripada pengurus terburuk dalam sejarah Liga Perdana, Frank de Boer,” kata Mourinho menjelang pertemuan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Sevilla.

“Dia berkata adalah tidak bagus buat Marcus Rashford memiliki jurulatih seperti saya kerana apa yang paling penting buat saya ialah kemenangan.

“Jika dia dilatih Frank, dia akan belajar bagaimana untuk tewas kerana dia tewas setiap perlawanan.”

Tempat Rashford semakin terhad sejak kehadiran Alexis Sanchez pada Januari namun Mourinho menegaskan dia masih mencari keseimbangan buat Rashford dan memberikannya pengalaman.

“Adakah dia bermain sejak mula? Tidak, sudah tentu tidak tetapi dia adalah pemain yang kami percayai dan saya memberitahunya sebelum pertemuan dengan Liverpool,” kata Mourinho. - AFP

 

 

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 12:38am
d