arena

Cedera tak halang Yueh beraksi

Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Gimnas negara, Tan Ing Yueh optimis dapat menampilkan persembahan terbaik pada Sukan Komanwel di Gold Coast bulan depan biarpun cedera buku lali ketika beraksi pada Piala Dunia di Melbourne, Australia dari 22 hingga 25 Februari lalu.

“Saya terseliuh sikit sahaja tetapi sekarang semakin sembuh. Kini saya masih menjalani fisioterapi dan rehabilitasi dengan nasihat doktor.

“Saya juga mendapat pelepasan untuk ke Sukan Komanwel, cuma masa ini saya masih perlu lalui proses pemulihan terutama dalam menguatkan lagi buku lali kiri saya,” katanya yang memenangi pingat emas acara batang titian di siri Piala Dunia di Ljubljana, Slovenia pada 2016.

Ing Yueh disenaraikan mengetuai cabaran skuad gimnastik artistik wanita negara pada temasya kedua terbesar dunia itu yang turut dibarisi Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Azira Aziri dengan misi besar untuk menamatkan kemarau pingat.

“Saya sudah kembali sertai latihan bersama rakan dan kami tidak akan menyertai kejohanan lain bagi memberi fokus latihan di sini,” katanya.

Gimnas berumur 21 tahun itu cedera pada hari pertama Piala Dunia di Melbourne ketika beraksi dalam acara melombol.

“Saya melakukan kesilapan ketika mendarat dan ia menyebabkan tekanan pada kaki dan terseliuh,” katanya yang merangkul dua emas dan satu perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Sementara itu, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie menjadi dua gimnas lelaki yang akan mengibarkan cabaran negara pada temasya di Gold Coast berdasarkan persembahan cemerlang mereka di KL2017.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:20am
d