arena

Stesen latihan TSG mula operasi

Oleh Adrian David

Kuala Terengganu: Selepas tujuh tahun penubuhannya, pasukan berbasikal profesional negara, Terengganu Cycling Team (TSG), kini berbangga memiliki stesen latihan serba lengkap di bumi sendiri.

Bangunan empat tingkat yang terletak di Ladang Tok Pelam dekat Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini turut dilengkapi sebuah cafe di aras bawah, kedai jualan barangan cendera hati dan pejabat pentadbiran Pasukan Terengganu Pro-Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pangkalan latihan di ibu pejabat baru itu juga dilengkapi sebuah gimnasium, pusat baiki pulih basikal, pusat tukaran mata wang asing dan papan tanda iklan LED.

“Kami berharap Stesen Latihan TSG ini akan membantu kami menjalankan operasi dengan lebih profesional dalam memastikan mencapai lebih kejayaan buat pelumba dan pasukan keseluruhan,” kata Farhan, yang tuut dibantu 20 petugas.

Semua kemudahan di bangunan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, esok.

TSG, yang memulakan operasi rasmi pada 1 Januari 2011, sudah mengecapi banyak kejayaan perlumbaan di peringkat kebangsaan, Sukan Asia, Olimpik dan perlumbaan jelajah di seluruh pelusuk dunia.

Pasukan itu kini berada dalam ranking ke-10 Asia namun memasang impian untuk kembali ke kedudukan kelima pada musim ini selepas mengalami musim turun naik mereka sejak 2012.

Sebelum ini, TSG pernah menduduki ranking keempat Asia pada 2011, pertama (2012), ketiga (2013), keenam (2014), kesembilan pada 2015 dan kembali ke ranking kelima pada 2016.

Farhan berkata, TSG menggunakan khidmat bekas jurulatih pasukan Sky, Jeremy Hunt mulai 1 Disember 2016 sebagai ketua jurulatihnya, selain mendapatkan pelumba Eritrea, Metkel Eyob dari pasukan Pro Tour Dimension Data, pelumba Mongolia, Maral Erdene Batmunkh, pelumba Australia, Drew Morey, pelumba Singapura, Goh Choon Huat serta pelumba Russia, Ovechkin Artem untuk memperkasakan cengkaman.

Pelumba tempatan TSG terdiri gandingan adik beradik Harrif dan Zamri Saleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, selain Mohd Nur Umardi Rosdi, Che Ku Mohd Nazmi Che Ku Romli, Mohd Zulhilmi Afif Zamri dan Zul Adry Amin Zulkurnain.

TSG ketika ini turut diperkuatkan dengan kehadiran pemenang emas Sukan Sea (KL2017) , Irwandi Lakasek dan Afiq Huznie Othman yang masing-masing mengikat kontrak setahun.

“Kami harap dengan kombinasi pelumba baru ini membantu kami mendapatkan semula kedudukan ranking terbaik Asia yang pernah kami kecapi dulu,” kata Farhan.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:26am
d