arena

Rafiuddin sudah hilang sabar

Oleh Rodly Fadly

“SAYA kesian kat depa tapi rasanya saya dah bagi cukup masa,” kata Rafiuddin Roddin berhubung isu tunggakan gaji yang dihadapinya bersama Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

Rafiuddin adalah pemain kedua tampil menuntut tunggakan gaji secara terbuka selepas bekas rakan sepasukannya, Jafry Firdaus Chew berbuat begitu minggu lalu.

Selain mereka berdua, difahamkan lima lagi bekas pemain Pulau Pinang - K Reuben, Faizat Ghazali, Mafry Balang, Sani Anuar Kamsani dan Syed Adney Syed Hussein turut berdepan kemelut sama.

Menurut Rafiuddin, segala pintu rundingan sudah dibuka untuk menyelesaikan masalah itu tetapi jalan penyelesaian gagal dicapai.

“Saya masih berharap tunggakan gaji untuk bulan Oktober dan November 2017 itu dapat dilangsaikan tanpa perlu saya dan kawan membawa isu itu ‘ke tengah’.

“Setakat ini saya menggunakan khidmat PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) untuk menuntut hak. Tapi, hingga sekarang ia masih gagal diselesaikan.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu membawa isu ini hingga ke FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana tidak sanggup mereka menerima hukuman lebih berat seperti pemotongan mata, denda atau diturunkan ke liga lebih bawah.

“Sebagai pemain yang pernah mewakili Pulau Pinang selama empat musim, saya masih sayangkan pasukan itu walaupun sudah meninggalkan mereka. Saya terhutang budi kepada mereka yang membentuk bakat saya.

“Saya memahami masalah FAP yang dibebani masalah kewangan. Tapi, saya harap mereka dapat mencari jalan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Rafiuddin yang menyarung jersi Harimau Kumbang sejak 2014 hingga 2017 kini mewakili Perak.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 10:59am
d