arena

'Saya sokong United kerana permainannya'

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mendedahkan gaya permainan Manchester United sebagai faktor beliau menyokong kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu sejak kecil.

Najib berkata, berbanding musuh tradisi, Liverpool yang gah dengan kejayaan lampau, Manchester United sentiasa memperoleh kejayaan.

"Kalau nak tengok Liverpool kena tengok di ‘History Channel’,” katanya sambil disambut gelak ketawa 3,000 hadirin di Program Bajet 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini. 

Menjawab soalan daripada selebriti, Fizo Omar yang mengacarakan majlis itu, Najib berkata beliau dengan salah seorang anaknya akan ‘bermusuhan’ di hadapan kaca televisyen apabila membabitkan perlawanan Manchester United dengan Liverpool.

“Saya sokong Manchester United, dia pula peminat fanatik Liverpool. Baru-baru ini ada ‘game’ kedua-dua pasukan saya duduk di sudut sini, dia pula duduk di sudut sana.

“Kami berpecah... saya gemarkan Manchester United kerana permainannya,” katanya.

Minat Perdana Menteri terhadap pasukan yang digelar The Red Devils itu bukan lagi satu rahsia, apabila beliau gemar Tweet status sokongan terhadap skuad kendalian Jose Mourinho di laman sosial Twitternya.

Terbaru, sebelum perlawanan tumpuan antara Manchester United menentang Liverpool Sabtu lalu, Perdana Menteri mengatakan pasukan pilihannya mampu menewaskan musuh tradisi itu.

“Kan saya cakap @ManUtd boleh menang? Nampaknya tahun ini bukan tahun Liverpool. #GGMU,” katanya menerusi akaun Twitternya.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:33pm
d