arena

Peluang Jin Wei, Soniia Cheah lakar kejutan

Oleh Fabian Peter

JURULATIH perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock mahu pemain badminton wanita negara, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei menimba pengalaman paling bermakna pada penampilan pertama mereka di saingan Seluruh England, minggu ini.

Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi di kejohanan tahap kedua itu, Seu Bock percaya jika mereka mampu melakar kejutan, kedua-dua anak buahnya itu mampu mara lebih jauh lagi. 

Kejohanan berprestij itu akan berlangsung di Birmingham, bermula Rabu ini dengan Soniia akan berdepan wakil Indonesia, Fitriani Fitriani, manakala Jin Wei pula bertemu He Bingjiao dari China.

"Ini adalah penampilan pertama mereka di Seluruh England. Jadi saya mahu mereka memberikan yang terbaik.

"Sudah tentu sasaran untuk muncul juara tidak begitu realistik, tetapi jika dapat melakukan satu atau dua kejutan, mereka mampu mara lebih jauh," kata Seu Bock ketika dihubungi hari ini. 

Berdasarkan penilaiannya terhadap kedua-dua pemain itu selepas menyertai Terbuka Jerman di Mulheim, Seu Bock berkata: "Terbuka Jerman tidak menepati apa yang saya harapkan. 

"Soniia dan Jin Wei tidak beraksi pada tahap terbaik mereka. Sebab itu saya berharap mereka dapat meningkatkan prestasi di Seluruh England.

"Tahap permainan di sana pasti lebih tinggi tetapi ia akan meningkatkan moral kedua-dua pemain itu jika mereka dapat melakukan yang terbaik.

Soniia diletakkan dalam kelompok yang sama dengan pilihan kedua, Akane Yamaguchi dari Jepun; juara Olimpik, Carolina Marin dan wakil India, P V Sindhu.

Sementara Jin Wei yang juga juara remaja dunia 2015 diletakkan bersama pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan; wakil Thailand, Ratchanok Intanon dan pemain Korea Selatan, Sung Ji Hyun.

 

 

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 10:40pm
d